
KUALA LUMPUR – Pada tahun 1985, lahir seorang bayi yang diberi nama  Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz. Bayi lelaki milik pasangan Mak Yah dan  Abdul Aziz tersebut sempurna segenap bentuk sifatnya tanpa sebarang  kecacatan. Bayi tersebut dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh kedua  ibu bapanya.
Dari kecil lagi, Mak Yah sudah melihat ciri-ciri kewanitaan yang  wujud di dalam diri anaknya itu. Namun, apalah daya seorang ibu untuk  menghalang kecenderungan semulajadi yang semakin menonjol itu. Ashraf  terus membesar dengan sifat kewanitaan yang makin terserlah.
Abdul Aziz, 60, pula menceritakan bahawa dia tidak pernah mengalami  sebarang masalah untuk mendisiplinkan anak-anaknya. Namun berhadapan  dengan Ashraf, dia mengakui bahawa tidak dapat menyelesaikan masalah  ‘keperempuanan’ anaknya itu.
Ketika di alam remaja, ayahnya memberitahu bahawa suara Ashraf tidak  bertukar garau sebagaimana kebiasaan remaja lelaki lain yang akil baligh  dan lenggok jalan anaknya itu membayangkan seorang gadis sunti. Ini  menambahkan lagi kerisauan Abdul Aziz.
“Adiknya pernah memotong rambutnya (Mohd Ashraf) seperti  tentera, tetapi kami tetap melihatnya seperti seorang wanita, bezanya  hanya rambut dia pendek,” katanya.
Menurut ayahnya lagi, biar apa pun yang mereka sekeluarga lakukan pada Ashraf, anaknya itu tetap dengan sifat kewanitaannya.
Menyebut mengenai pekerjaaan Ashraf, menurut Mak Yah, dia difahamkan  bahawa anaknya bekerja di Putrajaya, namun tidak memberitahu apa  perkerjaan sebenar anak lelakinya itu.
Tanpa pengetahuan Mak Yah dan Abdul Aziz, Ashraf yang memiliki  diploma dalam bidang perubatan itu dikatakan telah menjalani ujian  perubatan dan hormon di Pusat Perubatan Pantai Kuala Lumpur pada sekitar  tahun 2007 dan dikatakan layak untuk bertukar jantina.
Kemuncak kepada ‘proses kewanitaan’ Ashraf berlaku ketika kedua ibu  bapanya itu berangkat ke Mekah untuk menunaikan ibadat haji pada tahun  2009, apabila mengambil keputusan sendiri untuk menjalani pembedahan  menukar jantina di salah sebuah hospital di Thailand tanpa pengetahuan  kedua ibu bapanya itu.
Meskipun pembedahan tersebut berjaya memuaskan naluri kewanitaan  Ashraf, dia berdepan dengan kemarahan ibu dan ayah apabila mereka  bertindak membakar semua pakaian perempuan miliknya serta menghalaunya  keluar dari rumah.
Menurut Mak Yah, meskipun Ashraf dihalau dia tetap pulang ke rumah  ibu bapanya, namun anaknya itu hanya berani tidur di dalam kereta  sahaja.
Hidup terbuang dari keluarga tidak mematahkan semangat Ashraf untuk  menjadi lebih wanita apabila memfailkan petisyen kepada Mahkamah pada 15  Mei lalu bagi membenarkannya menukar nama Mohd Ashraf Hafiz kepada  ‘Aleesha Farhana’, bagi memudahkannya menguruskan kehidupan seharian,  selain mahu memasuki universiti melanjutkan pengajiannya.
Petisyen yang difailkan selepas Ashraf menukar jantina itu  dikendalikan oleh peguamnya, Horley Isaac dan Peguam Kanan Persekutuan,  Adha Abu Bakar, serta kes tersebut didengarkan di hadapan Hakim Mahkamah  Tinggi, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa.
Bagaimanapun, pertisyen yang dikemukakan itu ditolak oleh Mohd Yazid  dengan alasan bahawa meskipun Ashraf pernah melakukan pembedahan  pertukaran jantina, ia tidak boleh dijadikan hujah untuk mahkamah  meluluskan permohonan itu.
Kekecewaan Ashraf jelas terbayang apabila mendengar keputusan hakim  Mahkamah Tinggi itu apabila menyatakan dia lebih rela mati untuk  memperjuangkan matlamatnya menukar nama di atas kad pengenalannya dan  nekad untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Namun, hasrat Ashraf itu tidak kesampaian apabila terlebih dahulu  dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)  Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, 5 pagi tadi akibat serangan  jantung yang tidak stabil atau ‘unstable angina with cardiogenic shock’.
Maka dengan itu maka tamatlah perjuangan Mohd Ashraf Hafiz untuk  menjadi seorang ‘Aleesha Farhana binti’ Abdul Aziz dan menurut Abdul  Aziz, jasadnya dijangka disemadikan selepas solat zohor di Seberang  Takir sebagai seorang lelaki.
Semoga Allahyarham Mohd Ashraf Hafiz diberikan pengampunan oleh Allah S.W.T serta dicucuri rahmat ke atasnya, Al-Fatihah.
*Kesimpulan : jadikan ini sebagai satu pengajaran...fikir dulu sebelum ingin melakukan sesuatu keputusan supaya tidak membawa masalah kepada orang lain...sekian
0 comment:
Post a Comment